Thursday, November 19, 2009

MARI KITA HAYATI SIFAT-SIFAT TAUWADHUK...

Adik-adikku, barisan pemuda/i yang telah membariskan dirinya di jalan dakwah...

Terdetik rasa hati di petang ini untuk mencatatkan beberapa perkara sebagai perkongsian santai bersama untuk tidak menghampakan pengunjung blog ini khususnya kalian yang cintakan dakwah.

Mari kita berbicara tentang sifat TAWADHUK. Masih terbayang-bayang di tirai kenangan sewaktu perpisahan dengan seorang guru yang sedikit sebanyak memberi kesan dalam proses pembinaan jiwa saya ketika pengajian di PONDOK AN-NUUR dahulu. Beliau datang hanya seketika, hadir bersama sentuhan halus seorang pendidik. Sangat bersahaja tetapi amat terasa sentuhan dan kalimah nasihat yang disampaikannya. Ketika mengiringinya di terminal bas Kuantan, setelah bersalaman dan berpelukan antara satu sama lain, beliau menyampaikan kalimah akhirah yang masih ku ingat sehingga kini. Katanya ; "Ingat pesan ana ni molek-molek. Jika antum semua ditakdirkan Allah s.w.t. menjadi orang yang alim, jadilah orang alim yang tawadhuk"

TAWADHUK lawannya TAKABBUR. Takabbur adalah sifat Syaitan yang menjadikan ia kafir kepada Allah .s.w.t. semata-mata kerana merasakan dia lebih hebat dari Adam a.s. Adam dicipta dari tanah sedangkan ia dicipta dari api. Takabbur menghasilkan HASAD atau dengki. Hasad adalah penyakit tertua di dunia yang diwarisi oleh manusia dari Syaitan. Hasad inilah sifat yang menguasai Qabil hingga dia nekad membunuh Habil. Hasad ini jugalah penyakit yang diwarisi oleh pembesar Yahudi sehingga menolak kenabian Nabi Muhammad s.a.w. lantaran Baginda dipilih dari bangsa Arab bukan dari bangsa Yahudi seperti harapan mereka, walaupun mereka sangat kenal dengan sifat dan perwatakan kenabian Nabi Muhammad s.a.w. lebih dari mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Sementelah lagi Arab dan Yahudi adalah bangsa yang datang dari titisan yang sama, warisan Ibrahim a.s.

Bagaimana untuk mendidik jiwa Tawadhuk? Di kesempatan yang ringkas ini, saya kongsikan beberapa tips :

1. Kenal hakikat diri dan hakikat Pencipta. Jika kita tahu dan sedar siapa diri kita dan betapa berhajatnya kita kepada Allah s.w.t., maka tiada sebab untuk kita merasa besar diri. Setiap udara yang kita hidup, setiap urat saraf dan sendi yang bergerak semua berlaku dengan izin Allah s.w.t. Kita cerdik, kerana akal yang sempurna kurniaan Allah. Kita petah berhujjah kerana lidah fasih kurniaan Allah, kita rajin dan ringan tulang kerana tubuh yang sihat pemberian Allah s.w.t. Semuanya dari Allah dan milik Allah. lalu bagaimana kita boleh rasa besar diri? La hawla wa la quwwata illa bilLah Al-Aliy Al-Azhim.

2. Ketika dipuji oleh orang lain, beristighfarlah dan wujudkan rasa malu terhadap Allah s.w.t. dan diri sendiri. Bisikkan pada diri, "Ya Allah, mereka puji aku semata-mata kerana menilai zahirku, kalaulah mereka mengetahui batinku, rahsiaku dan apa yang tersembunyi dari dosa-dosa silam dan keburukanku, pasti mereka tidak akan berberbuat demikian. Mereka tak tahu, tapi aku tahu dan Allah Maha Mengetahui. Ya Allah, peliharalah hatiku"

3. Rasakan dalam diri bahawa sesiapa sahaja yang kita temui samada kanak-kanak, remaja, orang tua, berpendidikan rendah, sederhana, tinggi atau pun tidak berpendidikan mungkin jauh lebih baik dari kita walaupun kita ini dihormati di mata mereka. Wujudkan sangkaan mungkin ilmunya lebih tinggi, akhlaknya lebih mulia, ibadahnya lebih banyak dan hubungannya dengan Allah mungkin lebih rapat dari kita.

Setakat ini dulu, nanti kalau ada kelapangan sambung lagi....INYALLAH.

1 ulasan:

~ .:: asSirru ::.~

السلام عليكم

Nice blog!

Teruskan thabat dan istiqomah...

Salam Perjuagan...

Smga kita beroleh kemenangan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat...

Mudah2an, amin Ya Rabb...

Doakan utk ana ya..

syukran..

Salam ukhuwah fillah abadan abadaa,,

HALWA TELINGA

Blogger template 'Browniac' by Ourblogtemplates.com 2008

Jump to TOP