Thursday, November 19, 2009

MARI KITA HAYATI SIFAT-SIFAT TAUWADHUK...

Adik-adikku, barisan pemuda/i yang telah membariskan dirinya di jalan dakwah...

Terdetik rasa hati di petang ini untuk mencatatkan beberapa perkara sebagai perkongsian santai bersama untuk tidak menghampakan pengunjung blog ini khususnya kalian yang cintakan dakwah.

Mari kita berbicara tentang sifat TAWADHUK. Masih terbayang-bayang di tirai kenangan sewaktu perpisahan dengan seorang guru yang sedikit sebanyak memberi kesan dalam proses pembinaan jiwa saya ketika pengajian di PONDOK AN-NUUR dahulu. Beliau datang hanya seketika, hadir bersama sentuhan halus seorang pendidik. Sangat bersahaja tetapi amat terasa sentuhan dan kalimah nasihat yang disampaikannya. Ketika mengiringinya di terminal bas Kuantan, setelah bersalaman dan berpelukan antara satu sama lain, beliau menyampaikan kalimah akhirah yang masih ku ingat sehingga kini. Katanya ; "Ingat pesan ana ni molek-molek. Jika antum semua ditakdirkan Allah s.w.t. menjadi orang yang alim, jadilah orang alim yang tawadhuk"

TAWADHUK lawannya TAKABBUR. Takabbur adalah sifat Syaitan yang menjadikan ia kafir kepada Allah .s.w.t. semata-mata kerana merasakan dia lebih hebat dari Adam a.s. Adam dicipta dari tanah sedangkan ia dicipta dari api. Takabbur menghasilkan HASAD atau dengki. Hasad adalah penyakit tertua di dunia yang diwarisi oleh manusia dari Syaitan. Hasad inilah sifat yang menguasai Qabil hingga dia nekad membunuh Habil. Hasad ini jugalah penyakit yang diwarisi oleh pembesar Yahudi sehingga menolak kenabian Nabi Muhammad s.a.w. lantaran Baginda dipilih dari bangsa Arab bukan dari bangsa Yahudi seperti harapan mereka, walaupun mereka sangat kenal dengan sifat dan perwatakan kenabian Nabi Muhammad s.a.w. lebih dari mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Sementelah lagi Arab dan Yahudi adalah bangsa yang datang dari titisan yang sama, warisan Ibrahim a.s.

Bagaimana untuk mendidik jiwa Tawadhuk? Di kesempatan yang ringkas ini, saya kongsikan beberapa tips :

1. Kenal hakikat diri dan hakikat Pencipta. Jika kita tahu dan sedar siapa diri kita dan betapa berhajatnya kita kepada Allah s.w.t., maka tiada sebab untuk kita merasa besar diri. Setiap udara yang kita hidup, setiap urat saraf dan sendi yang bergerak semua berlaku dengan izin Allah s.w.t. Kita cerdik, kerana akal yang sempurna kurniaan Allah. Kita petah berhujjah kerana lidah fasih kurniaan Allah, kita rajin dan ringan tulang kerana tubuh yang sihat pemberian Allah s.w.t. Semuanya dari Allah dan milik Allah. lalu bagaimana kita boleh rasa besar diri? La hawla wa la quwwata illa bilLah Al-Aliy Al-Azhim.

2. Ketika dipuji oleh orang lain, beristighfarlah dan wujudkan rasa malu terhadap Allah s.w.t. dan diri sendiri. Bisikkan pada diri, "Ya Allah, mereka puji aku semata-mata kerana menilai zahirku, kalaulah mereka mengetahui batinku, rahsiaku dan apa yang tersembunyi dari dosa-dosa silam dan keburukanku, pasti mereka tidak akan berberbuat demikian. Mereka tak tahu, tapi aku tahu dan Allah Maha Mengetahui. Ya Allah, peliharalah hatiku"

3. Rasakan dalam diri bahawa sesiapa sahaja yang kita temui samada kanak-kanak, remaja, orang tua, berpendidikan rendah, sederhana, tinggi atau pun tidak berpendidikan mungkin jauh lebih baik dari kita walaupun kita ini dihormati di mata mereka. Wujudkan sangkaan mungkin ilmunya lebih tinggi, akhlaknya lebih mulia, ibadahnya lebih banyak dan hubungannya dengan Allah mungkin lebih rapat dari kita.

Setakat ini dulu, nanti kalau ada kelapangan sambung lagi....INYALLAH.

Sunday, November 15, 2009

(MUHASABAH NUZUL AL-QURAN)golongan yang meninggalkan al-quran

Al-Imam Ibnul Qayyim Rahimahullah menyatakan bahawa ada berbagai-bagai golongan yang dikira sebagai golongan yang meninggalkan Al-Quran:


Golongan yang tidak beriman dengan Al-Quran.
Golongan yang tidak bertadabbur dan memahami maksud Al-Quran.
Golongan yang tidak beramal dengan isi kandungan Al-Quran.
Golongan yang tidak berhukum dengan Al-Quran. (tidak menjadikan Al-Quran sebagai dasar dlm perundangan)
Golongan yang tidak menjadikan Al-Quran sebagai penawar bagi hati.




Ulama-ulama yang lain seperti Ibnu Kathir dan lain-lainnya menambah beberapa golongan-golongan lain yang juga dikira meninggalkan Al-Quran iaitu:





Golongan yang apabila dibacakan Al-Quran mereka berpaling kepada perkataan yang sia-sia seperti nyanyian dan lain-lain.
Golongan yang tidak menghafal dan mempelajarinya.
Golongan yang tidak membacanya.
Golongan yang tidak mengulangkaji hafalannya.




Sekiranya kita masih tergolong di dalam salah satu golongan tersebut, beerti kita masih tidak menyempurnakan lagi tuntutan Al-Quran tersebut.






Muhasabah:

1. Adakah kita hanya menitik beratkan tentang bacaan seperti tajwid, tarannum, qiraat semata-mata, tetapi tidak berusaha untuk memahaminya, atau memperjuangkannya?

2. Adakah kita hanya bersunggguh-sungguh berjuang menegakkan hokum Al- Quran tetapi kita masih tidak betul bacaan fatihahnya dan tidak berusaha mempelajarinya (jauh sekali untuk membacanya dgn sebutan yang fasih)?

3. Adakah kita seorang hafiz Al-Quran yang sentiasa menjaga hafalannya, tetapi masih takutkan manusia untuk memberi sumbangan atau membantu perjuangan menegakkan Al-Quran?

4. Adakah kita hanya menjadikan Al-Quran sumber pendapatan kita semata-mata?

5. Sejauh manakah hubungan kita dengan Al-Quran?

6. Bandingkan antara surat khabar dengan Al-Quran, manakah yg sering kita dampingi?

7. Antara majlis ilmu kea rah memahami Al-Quran dengan majlis yang tidak berfaedah di sudut agama, yang manakah yang banyak kita sertai?

8. Antara lagu-lagu dan surah Al-Quran yang manakah kita lebih banyak menghafalnya?

9. Adakah kita telah bersama-sama dengan perjuangan menegakkan Al-Quran khususnya di bumi Malaysia ini?


Berusahalah menjadikan diri kita benar-benar pendokong dan pencinta Al-Quran. Ingatlah bahawa PEJUANG SEBENAR IALAH PEJUANG YG MENDAMPINGI AL-QURAN, DAN AHLI QURAN YANG SEBENAR IALAH MEREKA YANG BERJUANG, rosaklah perjuangan tanpa Al-Quran dan hinalah ahli Quran tanpa perjuangan.




Rujukan:

1. Al-Quran

2. Tafsir Ibnu Kathir Jld 3

3. Tafsir Munir, jzk 19, ms 61

4. Fi zhilalil Quran.

5. Tafsir Qurthubi

KEJAHATAN-KEJAHATAN YAHUDI DI DALAM AL-QURAN

1. Kejahatan bani Israil yg pertama ialah HASAD DENGKI yg dilakukan oleh adik beradik Nabi Yusof yg sanggup menghumbannya ke dalam telaga. Lihat kisah dalam surah Yusof

2. TAMAKKAN HARTA seperti yg di dedahkan dalam Surah Al-Qasas (79),

3. PENDERHAKA, MELAMPAU BATAS, TIDAK MENCEGAH KEMUNGKARAN, MELANTIK PEMIMPIN DARI KALANGAN KAFIR, JAHAT (FASIQ) seperti di dedahkan dalam Surah Al-Maidah (78-81)

4. BERHATI KERAS. Lihat surah Al-Baqarah (74)

5. MUNGKIR JANJI .Lihat Surah Al-Baqarah (27), Al-Maidah (13)

6. MEMPERMAINKAN AGAMA (MENYELEWENGKANNYA). Lihat Surah Al-Maidah (13), (64), Ali Imran (181-182)

7. PENGKHIANAT . Lihat Surah Al-Maidah (13)

8. PEMBUNUH NABI-NABI DAN PENDOKONG KEBENARAN. Lihat Surah Al-Baqarah (61) (87), Ali Imran (21-22), AnNisa’ (155-158)

9. CINTAKAN KEHIDUPAN DUNIA. Lihat Surah Al Baqarah (96), Al-Hasr (13-14)

10.MANUSIA YANG PALING MEMBENCI ORANG ISLAM. Lihat Surah Al-Maidah (82)

6666 AYAT PERLU DITOLAK

Mungkin tajuk ini mengejutkan kita dan mungkin tidak kurang juga ada yang menghukum kenyataan ini sebagai di antara perkara yang membatalkan aqidah. Ini semua disebabkan kita sejak kecil lagi dan hingga kini ramai masyarakat Islam di Malaysia menganggap 6666 itulah bilangan sebenar ayat Al-Quran. Tetapi hakikatnya tidak.Entah dari mana sumber yg mengatakan bilangan ayat Al-Quran 6666 saya pun tak tahu.

Apa yang saya maksudkan di dalam tajuk ini bukannya menolak mana-mana ayat di dalam Al-Quran, ‘NA’UUZUBILLAH’, tetapi hanya untuk membetulkan fakta sebenar mengenai bilangan ayat Al-Quran sahaja. Penolakan hanyalah pada angka 6666 sahaja.

Bilangan sebenar.

Berkata Imam Ad-Daani: “Para ulama sepakat mengatakan bahawa bilangan ayat Al-Quran melebihi 6000 ayat, tetapi mereka berselisih pendapat tentan bilangan yang lebih dari 6000 tersebut”
Berikut adalah pandangan-pandangan ulama dalam masalah ini:
1. Pendapat pertama Ahli Madinah : 6217 ayat (diriwayatkan dari Nafi’)
2. Pendapat kedua Ahli Madinah : 6214 ayat (diriwayatkan dari Syaibah bin Nasshoh) dan 6210 ayat (diriwayatkan dari Abu Ja’far bin AlQa’qa’)
3. Pendapat Ahli Mekah : 6220 ayat (diriwayatkan dari Ibnu Khathir Al-makkiy)
4. Pendapat Ahli Kufah : 6236 ayat (diriwayatkan dari Hamzah AzZayyat, Al-Kisaie dan Khalaf bin Hisyam)
5. Pendapat Ahli Basrah : 6205 ayat (diriwayatkan dari ‘Aashim bin ‘Ajjaj Al-Jahdari)
6. Pendapat Ahli Syam : 6226 ayat (diriwayatkan dari Yahya bin Harith Az-Zammari)

Punca khilaf.
Nabi SAW pada peringkat permulaan membaca Al-Quran dengan diwakafkan di setiap akhir ayat sebagai isyarat tentang kedudukan akhir ayat. Kemudian setelah sahabat baginda mengetahui perkara tersebut, Rasulullah menyambung satu ayat dengan ayat selepasnya yang ada kaitan makna untuk menyempurnakan maksud dan kefahaman ayat tersebut, lalu ada yang mengaggap bahawa kedua-duanya dikira satu ayat dan ada yang menganggap ia dua ayat yang berasingan.
Khilaf ini tidak beerti ada penambahan ayat atau kurangnya ayat menurut pendapat-pendapat tersebut.

Contoh khilaf.
Firman Allah SWT

يس ، والقرءان الحكيم

Ahli Kufah mengiranya dua ayat manakala ulama lain mengiranya hanya satu ayat sahaja.

Kesimpulan
1. Tiada satu pandangan pun dari kalangan ulama (setakat yang saya dapati) yang menyatakan bahawa 6666 adalah bilangan ayat Al-Quran.
2. Bilangan yang diguna pakai oleh Mushaf-mushaf riwayat Hafs sekarang ialah bilangan Ahli Kufah iaitu 6236 ayat.

Wallahua’lam

al-faqir muhammad idres bin yaakob
universiti iman,uneversiti yamaniah
student of republic yemen
Rujukan.
1. Al-Quran
2. Manahil ‘Irfan. Syeikh Abdul Azim Az-Zurqani (MS 242-243)
3. Al-Itqan. Al-Hafiz Assuyuthi (Jld 1, MS 208-210)

Friday, November 13, 2009

Kesalahan-kesalahan di dalam surah al-fatihah(siri 6)

>Kesalahan dalam ayat ke 7.

1. Meng 'isymamkan' (memuncungkan bibir) ketika menyebut huruf (ص) dalam kalimah (صراط)

2. Menyebut huruf (ر) yang berbaris fathah dengan ketebalan yg melampau seolah-olah hamper kepada dhammah dengan dimuncungkan mulut kehadapan. (Ada sebahagian qari tersilap dengan menggalakkan cara demikian).

3. Menebalkan huruf (ل) dalam kalimah (الذين)

4. Membaca dengan 'qalqalah' pada izhar halqi dan izhar syafawi dalam kalimah (أنعمت)

5. Membaca izhar halqi dan izhar syafawi dengan memutuskan bacaan seperti 'saktah'

6. Membaca dengan seolah-olah ada tasydid pada huruf (ع) dalam kalimah (انعمت عَّليهم)

7. Tidak membaca kasrah dengan tepat pada (عليهم) dengan sebutan seperti "'alaihem"

8. Tidak menebalkan huruf (غ) dalam kalimah (غير) dan (المغضوب)

9. Menebalkan huruf (م) dalam kalimah (المغضوب) kerana terpengaruh dengan huruf tebal selepasnya.

10. Tidak jelas dalam menyebut izhar syafawi pada huruf (م) dalam kalimah (عليهم ولا)

11. Menebalkan huruf (ل) dalam kalimah (ولا الضالين)

12. Meninggalkan "istitholah" pada huruf (ض)

13. Tidak cukup kadar panjang mad lazim iaitu 6 harakat.

14. Dan lain-lain

Wallahua'lam

Rujukan:
1. Nihaayatul Qaulil Mufiid, Syeikh Muhammad Makki Nasr
2. Taqwiimul Lisaan bi Tilaawatil Qur aan, Syeikh Ibrahim Muhammad Al-Jirmi
3. Ilmut Tajwiid, Syeikh Dr Yahya Al-Ghauthaani.
4. Pengalaman bertalaqqi dengan guru-guru di madrasah darul furqan pulau pinang,dan guru dari marocco...

HALWA TELINGA

Blogger template 'Browniac' by Ourblogtemplates.com 2008

Jump to TOP